Pilih rakyat atau institusi perbankan?

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menghalusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar dilihat lebih mementingkan rakyat dan ratusan ribu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sudah tentu terbeban sementara menunggu pembukaan ekonomi secara berperingkat pada fasa ketiga, September ini.

Bagi mengurangkan bebanan PMKS yang terpaksa mengehadkan operasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), moratorium automatik, bantuan tunai serta subsidi upah amat ditagih bagi memastikan mereka dapat terus bertahan.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Dr. Abd. Halim Husin berkata, perkara ini setidak-tidaknya mampu mengelakkan 40 hingga 60 peratus PMKS gulung tikar jika PKP diteruskan sepanjang tahun ini sebelum pembukaan ekonomi yang dijangka pada September.

“Ini bukan hanya soal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penarafan bank, ini soal keprihatinan dan empati pemerintah pada kesengsaraan rakyat yang sedang berkorban demi negara. 

“Kerajaan perlu membuat keputusan segera untuk memilih sama ada ingin zahirkan kasih sayang pada 30 juta rakyat atau institusi perbankan dan pinjaman berlesen. Yang mana lebih penting untuk kesejahteraan negara dan bangsa,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Abd. Halim, kerajaan perlu menerima hakikat untuk mencapai imuniti kelompok memerlukan masa dan tidak mungkin berlaku dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Oleh itu tegasnya, kerajaan perlu tampil dengan pelan yang lebih mengikut saranan Majlis Raja-Raja yang menekankan aspek utamakan nyawa dan kehidupan rakyat serta kaedah menangani wabak Covid-19 bersifat inklusif dan mendapat sokongan penuh rakyat pelbagai peringkat.

“Berdasarkan laporan Laksana, hanya 20 peratus atau 25,605 PMKS sahaja yang berjaya mendapat bantuan daripada RM12.06 bilion yang ditawarkan. Jumlah itu terlalu kecil berbanding keseluruhan PMKS di negara ini yang masih tidak mendapat sebarang manfaat.

“Laporan Jabatan Perangkaan terkini juga menunjukkan pendapatan isi rumah maksimum B40 telah menurun sebanyak lapan peratus menyebabkan lebih 600,000 orang dari kategori M40 telah tergelincir ke kategori B40.

“Jika dilihat daripada fakta dan data ini, adakah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (​Pemerkasa Plus) itu sudah mencukupi? Adakah nyawa dan keperluan isi rumah yang bergantung pada 80 peratus PMKS yang tidak mendapat manfaat adalah kurang penting dan tidak mendesak?” jelasnya.

Sebelum ini, lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang memperjuangkan ekonomi, pengguna, PMKS, agama dan ramai lagi pemegang taruh ekonomi menuntut kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium automatik bagi membantu perusahaan kekal beroperasi dalam tempoh mencabar ini.

Sumber : Utusan Online